Isnin, 15 Ogos 2022

aktif

Pak Zin masa jumpa baru ni, kata gw aktif betul. Ya, itu memanglah menjadi tujuan gw bila gw buka kedai Toko Buku Rakyat ini. Supaya gw ada duit, dan kalau ada pekerja jaga masa hari minggu, bolehlah gw beraktiviti pada hujung minggu, untuk apa saja kegiatan. Sekarang gw cuba untuk mendisiplinkan diri gw agar selalu menulis di blog ini. Anjuran ini gw pernah terbaca di satu blog kawan lama gw di KUIS satu masa dulu, katanya ialah pada era FB ini, kita makin menjadi-jadi kepemalasan kita. Terutamanya blogger, yang sudah beralih arah ke FB dan sudah tidak mengemaskini blog mereka masing-masing. Gw pun entah dari mana dapat kekuatan dan kesempatan ini, maka gw cubalah. Mungkin, Tuhan nak tengok kut (bunyinya macam lucu), kalau gw diberi peluang dan ruang untuk buat wang, apa gw akan jadi? Adakah gw akan meneruskan apa yang gw cita-citakan, atau itu semuanya akan terkandas di tepian kerana kesibukan seperti Tha'labah - kalau lu tak tidur masa zaman sekolah agama dulu, lu akan tahulah sapa watak yang gw katakan ni. Jadi gw memang aktiflah sekarang. Tapi gw kena katakan juga, akan ada masa kita penat dan nak rehat. Semua orang pun macam tu. PSM je gw tak faham2, kuat betul depa ni ya. Hehe. 

Jumaat, 5 Ogos 2022

sibuk

 kini aku makin sibuk dan rancak. meskipun hidup makin penuh liku dan onak. tetapi aku tetap galak. aku tak rasa aku akan berhenti berganjak. walaupun aku tidak memakai tanjak, aku Melayu tetap berontak. dengan cara, gaya dan otak. ada kawan suruh aku menulis macam Aiman Rashdan -bukan Aiman Banna la- tapi aku taknak. aku tetap dengan cara, gaya dan lagak. tidak mahu tertiru-tiru orang lain, yang jika ramai nak jadi merak, mereka pun nak jadi merak. kenapa tidak gagak? ya, aku mahu jadi seperti gagak. yang boleh terbang ke sana ke sini, tidak seperti merak, yang tidak boleh terbang, tetapi duk berlagak. biarkan aku mengagak. biarkan selagi muda terus menggelegak. biar ketika muda terus gegak gempita kekal berteriak. jika penat, rehat kemudian baru bertindak. 

moga terus diberi kekuatan, keazaman dan kehendak. 

Sabtu, 18 September 2021

Rekomen

 Dalam dunia yang serba canggih dan sangat laju ini, kita tak akan dapat mampu mengejar semua benda. Kita yang dimaksudkan ini pastilah termasuk aku sekali, yakni generasi muda 40 tahun ke bawah. Yang berada di atas aku, lagilah. Atau generasi mak ayah aku yang 60 tahun ke atas. Memang dunia kini sudah begitu jauh, canggung dan cukup aneh untuk mereka. Segala yang mereka belajar suatu masa dulu (jika mereka pernah ke sekolah) atau pergi mengaji di masjid mendengar ustaz mengajar, pasti tidak sama dengan realiti dunia masa kini. Apatah lagi jika para ustaz mengajar tentang pasif, pesimis, dan persoalan akhir zaman tentang Dajjal dan etc etc. 

Tapi jika ada orang rekomen atau sarankan sesuatu pada kita, itu lebih baik dan lebih mudah. Saranan, cadangan atau rekomen (dari recommend) ia memudahkan untuk kita buat keputusan dalam dunia yang serba-keputusan ini. 

Nak tengok cerita apa sebagai misal di Netflix juga lebih baik atas saranan. Sebab kita tak akan terkejar pelbagai cerita yang dimasukkan di sana. Apatah lagi kini dengan pelbagai saluran alternatif yang ada (Astro dan TV sudah lama ditinggalkan generasi baru) membuatkan kita semakin hari semakin kelabu mata nak tengok yang mana. Akhirnya Netflix ini sekadar saluran menambahkan pendapatan kaum cukong sahaja. Kita terus dilemaskan dalam sekian banyak cerita demi cerita demi cerita. Atau fiksyen demi fiksyen demi fiksyen. Walhal realiti yang sebenar makin menghimpit cuba dilupakan. Jika Marx berkata dulunya Agama Itu Candu, pada hari ini mungkin Netflix itu sendiri yang candu. Melupakan beban pekerjaan seharian. Melupakan kesakitan ditindas majikan di tempat kerja, sebagai penghantar makanan, rider, gaji dibayar murah, tak dibayar gaji, gaji minima tak dapat dsbnya. Jadi Netflix dll yang begitu banyak cerita membuatkaan kita berasa rileks atau lega. 

Cumanya aku dah tak download apa2 cerita sekarang ni.

Sabtu, 27 Februari 2021

Tentang con artist.

 



Walaupun aku gemar atau suka menonton fiksyen-fiksyen (video) baik filem atau anime tentang con artist (antaranya seperti anime di atas) aku tetap tidak bersetuju dengan moral philosophy yang dianjurkan mereka. Baik filem terbaru Rosamund Pike atau Anna Hathaway, bagiku, moral philosophy yang dianjurkan mereka bukanlah bagus sangat, atau tak keterlaluan untuk dianggap sebagai banyak menyimpang.

Walaupun Pawan dalam Bajrangi Bhaijaan lurus bendul dan perwatakan sepertinya sangat sukar dicari dalam kehidupan realiti masakini, kita memerlukan lebih ramai sosok riil seperti Pawan dalam kehidupan sebenar. Jika tidakpun seperti Pawan, sekurang-kurangnya mereka yang berpegang dengan prinsip, dengan apa yang mereka katakan. Mungkin ada benda yang mereka secara realiti boleh pragmatikkan dalam praksis mereka. Tapi bukan soal prinsip. Dan mereka (aku berharap aku sebahagian antaranya) kadangkala atau kerapkali terperangkap atau terjerat dengan prinsip sendiri, iaitu banyak benda tak boleh buat berbanding boleh buat. Dan pastilah yang aku maksudkan ini bukan soal fiqhiyah. Tapi jika ada fiksyen begitu (soal fiqhiyah) seperti Pawan dalam cinematik Islami, menarik juga untuk ditonton. Nampaknya karyawan Hindustan lebih berani untuk menerokai hubungan keagamaan antara Hindu, Islam juga Syi'ah. Watak kejujuran dan berpegang teguh pada prinsip makin memudar, sementara watak yang penuh penipuan untuk hidup ditonjol.

Macam biasa, sekadar berpendapat.






Sabtu, 7 November 2020

Banyak tulis pasal anime dan manga di sini

 Yalah. Aku rasa lebih rileks bila aku tulis pasal hal ini di sini. Di FB lebih tegang. Aku rasa nikmat menjadi budak 80an-90an adalah tentang pop-culture seperti anime dan manga. Nikmat yang seperti ini jarang diperolehi oleh mereka yang atas pada generasi itu, atau generasi selepas itu. Ada budak-budak aku tanya pasal Naruto pun tak kenal, tak faham. Aku pun tak fahamlah budak-budak sekarang tengok benda apa. Kesian pada mereka. Sudahlah ruang mereka semakin kontot (maksud aku ruang secara literal-fizikal) (yang masalah seliteral seperti ini jarang pula mendapat porsi atau perhatian puak Wahabi-Salafi-Zahiri), ruang fikiran mereka pun aku nampak kontot juga. Sampai tak kenal apa benda ni, letih jugalah jadi budak-budak zaman sekarang. Puitika (poetry, sastrawi) tak ada. Literatur bagus tak ada. Apa yang ada pada mereka? 

Tapi ada anime baru yang aku layan juga. Grafiknya cantik. Lagunya pun sedap. Cekidot. 






Isnin, 26 Oktober 2020

Semua salah syaitan dan iblis.

 Aku cuba membuka diriku pada sebarang kemungkinan. Ini caranya otakku berfungsi. Mungkin ada kebenaran di pihak sana. Mungkin ada kebenaran di pihak lawan. Aku cuba mendengar semua. Sebelum masuknya era Covid-19 ini, iaitu masih di awal tahun ini, Lepat teruk diserang kiri dan kanan. Utamanya selepas dia terserempak dengan Dr. Kamilin (seorang Salafi) di sebuah kedai makan. Mamak mungkin. Kemudian seterusnya aku tertengok seorang lagi Ustaz, yang aku rasakan seorang Asha'irah. Berdasarkan metod-metod yang digunakannya. Ciri-ciri Kalam nampak ketara pada penghujahannya. Namanya Ustaz Noor Deros (UND). Dia dilihat mengungguli dalam kemahiran dan isu yang diperkatakannya. 

Sepanjang musim Covid-19 sehingga PKPPPPP (aku dah tak ingat apa semua PPP ini) ini semua, banyak masa dihabiskan menyendiri dan menonton serta mendengar pelbagai jenis kuliah. Ternyata tahun 2020 tidaklah seindah yang diimaginasikan kartun majalah Rileks!. Jadi aku menghabiskan banyak masa dengan mendengar pelbagai jenis kuliah agama. Ustaz Auni pun aku dengar juga okey. Jadi aku membuka telinga aku kepada sebarang kemungkinan. Kerana aku mungkin dah sekular terok.. Jadi aku perlukan anekdot.. ups.. maaf. Antidot. Mungkin boleh melunturkan sedikit sebanyak warna hitam yang berdaki dalam rohani aku. Jadi aku dengar segala jenis bicara mereka. 

Bila aku memberi perhatian yang sungguh pada UND, aku nampak dia begitu memfokuskan problematiknya pada Jin, Sihir, Batiniah. Ini antara sentral utama pokok perbahasannya bila aku dengar. Aku nampak semua benda dia cuba salahkan pada syaitan. Aku ada berfikir juga, mungkin betul apa yang dia cuba cakapkan. Mungkin benar ada gerakan syaitan di luar sana yang cuba menghancurkan umat Islam. Mungkin. Mungkin benar. Aku layankan sahaja. Walaupun hati aku meronta-ronta minta dilepaskan dari belenggu kemerapuan ini. Tapi bagaimana jika benar? 

Tapi itulah, dalam masa yang sama manga Sandland karya Toriyama masih menggamit aku. Cerita Sherif Rao mencari puak syaitan untuk meminta pertolongan kerana umat manusia telah menghancurkan bumi dengan siri peperangan. Kata-kata Pakcik Pencuri (begitu terjemahan manga cetak rompak edisi BM 77 ini) sangat mencuit hati:



Sabtu, 27 Jun 2020

Akira Toriyama yang mantap!

Akira Toriyama yang mantap. Selain baru-baru ini ada aku beli Dragon Ball (yang terpisah-pisah volume-nya), aku juga kembali mengulang Dragon Ball baik di edisi cetak yang aku beli, juga di Mangakakalot (sebuah web manga Jepun berbahasa Inggeris). Selain edisi hitam-putih, edisi berwarna juga menarik sekali. Cuma nampaknya seperti kata Eddy (bekas mentorku dulu), hitam-putih lebih memberikan inspirasi+imaginasi yang tak terbayangkan. Apatah lagi jika tidak bergerak seperti anime/live action. Komik ada kekuatannya yang tersendiri. 

Dan Akira Toriyama aku lihat hebat kerana menghasilkan karya yang panjang dan superb seperti Dragon Ball yang awalnya bermula seperti Journey to the West. Aku agak Akira Toriyama perlahan-lahan mengubah haluan apa yang ditulisnya itu. Ya, kerana nampak ketara perubahan dari Pertandingan Kungfu Antarabangsa dengan siri-siri seterusnya. Mungkin pengaruh utama kepada Toriyama adalah game, filem, juga action figures serta fesyen-fesyen terkini. Ini yang membentuk atau memberi rupa kepada Dragon Ball. Dan bila aku maksudkan Dragon Ball itu, aku tak maksudkan Dragon Ball selepas Dragon Ball Z (baik GT, Super dll). Lain-lain selepas Dragon Ball Z lebih banyak mengarut dan tiada 'kesan Toriyama'. Toriyama aku lihat sangat 'partikuler' dalam mereka watak (emosi) termasuk latar dan pertarungan (antara elemen penting dalam karya-karya Toriyama.

Bagaimanapun yang paling aku suka dan nak kumpulkan adalah karya-karya pendek Toriyama. Ianya seperti cerpen dalam dunia sastera. 'Cerpen-cerpen' Toriyama ini ada kesan yang lain. Ataupun cerita pendek/satu volume seperti Kajika, Sandland, juga Cowa antara manga Toriyama yang sangat superb bagi aku. Dragon Ball lebih mainstream (juga futuristik, satu lagi elemen Toriyama) tetapi Kajika, Sandland, Cowa, lebih deep. 

Membaca semula Dragon Ball ini menunjukkan pernah suatu masa dulu sekitar 1984, Toriyama memulakan suatu projek jangka panjang yang benar-benar menaikkan namanya ke seluruh dunia. Semua anak-anak yang membesar tahun 90an sangat menikmati dan bertemankan Dragon Ball. Terima kasih Toriyama kerana berkarya untuk kami. Pengalaman yang menyeronokkan lagi mencengangkan: membaca manga dan terpaku di depan tv -diselang-seli iklan snek Apollo.

aktif

Pak Zin masa jumpa baru ni, kata gw aktif betul. Ya, itu memanglah menjadi tujuan gw bila gw buka kedai Toko Buku Rakyat ini. Supaya gw ada ...