Cerpen Bumi: Dog Eat Dog

Talhah dan Lamka Idah duduk di kerusi yang disediakan di luar pejabat The Parrot. Sebentar tadi ada beberapa orang perempuan keluar masuk. Mereka menyuruh dia dan Lamka Idah agar duduk dulu di luar. Bang Jamal dan Mohd. Effendy juga dia sempat bersalaman, tapi raut wajah mereka tegang. 

Rambut Talhah masih basah. Dia bangun lewat. Ada kesan menitik air dari rambutnya. Tak sempat dikeringkan. Bilik sewa hariannya yang disewa agak berdekatan dengan tempat kerja. Tapi tuan rumah yang muka masam itu pula dengan anaknya mandi lambat-lambat. Itu yang buat dia terlambat. Berbeza dengan Lamka Idah yang duduk di sebelahnya, yang lebih kemas. Rambut Lamka Idah disikat rapi. Tadi semasa dia termengah-mengah berlari untuk sampai ke pejabat The Parrot, yang dron ke sana sini lintang pukang dia tak peduli, dia nampak Lamka Idah keluar dari aircarnya yang mewah. Dia sedikit terpegun. Tapi dia tak boleh kalah. Atau nampak lemah. 

"Kenapa kau nak minta kerja ni?" tanya Talhah. Dia kenal siapa lelaki di sebelahnya. Seorang penjual kitab-kitab Kelu Bela. Dia sudah banyak job. Kenapa masih mahukan job ini. Potensi Talhah terasa agak tipis. Lamka Idah yang sangat dikenali di kalangan para pemimpin Kelu Bela lebih menarik untuk dipilih.

"Job tak berapa banyak sekarang. Kedai masih buka. Acara-acara Kelu Bela masih join. Tapi tak cukup. Isteri aku tiga."

Talhah terasa bengkak mendengar penyataan sebegitu. Rasa macam nak cekik-cekik orang macam ni. Meski dia juga pengikut Kelu Bela, tapi orang di sebelahnya ini seperti manusia rakus, yang apa sahaja lalu di depannya akan disebatnya. Tak fikir dah depan belakang. Tak fikir dah orang lain dapat kerja ke tak. Itu bukan persoalan dia langsung.

"Bro tak fikir orang lain ke? Yang baru nak hidup." Tiba-tiba itu yang tercetus keluar dari mulut Talhah. Ayahnya telah mati beberapa bulan lalu. Dia tidak mahu bermuram durja begitu lama. Dia cuba buat podcast. Tapi tak berapa menjadi. Orang mengatanya di mana-mana, kerana dia seperti tidak banyak membaca. Walhal bukan dia tidak banyak membaca, dia memilih bacaan yang mudah dan santai. Jadi bila ada yang dikritiknya mengajak berbahas, dia jadi cemas. Dia rasa projek podcast itu bukan untuknya. Kerana itu dia datang ke Neo KL untuk cari kerja. Sestercenya tidak banyak lagi. Dia tak mahu kerja di Pokok. Dia tahu kerja di Pokok tersangat berat. Dia ada nampak iklan kerja kosong berlegar-legar di Paper. Iklan kerja dari The Parrot.

"Bukan masalah saya tak fikir orang lain, Lamka Idah tersenyum sambil mengalihkan kepalanya yang tegak ke depan ke arah Talhah, "tapi saya pun kena hidup."

Ulasan

Catatan Popular