Ahad, 15 April 2018

Belajar sepanjang masa..

Dan memerlukan masa yang sangat lama.. Ini adalah ciri-ciri insan yang idealis.. 
Orang selalu melihat orang idealis sebegini tidak berfungsi, sampai lahirlah kata-kata, "kejahatan ini bukan sebab orang jahat, tetapi sebab orang baik yang diam". 
Itu benar pada satu segi, tetapi tidak benar pada seluruh segi. 
Adakah kejahatan berpunca dari insan idealis itu? Bukankah seperti perpolitikan arus perdana, contohnya di negara kita, apa salahnya pada mereka yang tidak terlibat atau tidak mencalonkan diri itu?
Dunia ini penuh dengan orang jahat, dan kejahatan. Jika dia tidak menjadi jahat, kita yang akan menjadi jahat. Tidak dia, kita. Jika tidak ada Fir'aun, akankah ada Musa? Jika tidak ada Fir'aun, Musa nak lawan siapa? Aku selalu berpandangan bahawa kita berada di dunia ini untuk terhukum. Kita tidak dapat bebas menjadi apa sahaja yang kita nak. Mungkin kita dapat apa yang kita nak, tetapi itu cumalah fantasi/ilusi yang diperlihatkan terhadap kehendak kita. Sebenarnya kita tidak bebas juga. Kita makhluk yang fragile - mudah pecah.

Ramai orang bercakap tentang menuntut keadilan. Tapi berapa ramai yang menuntut keadilan dari saat dia lahir hingga dia mati nanti? Manusia bukanlah makhluk yang seketat itu. Kita mengalami berbagai-bagai macam peristiwa. Kadang kita semangat berjuang. Kadang kita letih. Kita sentiasa berubah-ubah. Tidak ada yang tetap. Apa yang dirangka, tidak semestinya sama seperti apa yang dibina. Kita belum diuji dengan kuasa, maka kerana itu kita mengkritik itu, mengkritik ini, kita mengatakan kehidupan seluruhnya tak dapat dipisahkan dengan politik. Tetapi sebaik sahaja kita (atau aliran kita) yang memegang tampuk kuasa, dan berlaku celaka, apa jawapan kita? Jika kita seorang yang tidak kritis, kita mengangguk sahaja. Jika kita kritis, kita katakan, itu telah murtad. Tetapi sama, kedua-duanya adalah fanatik ideologi. Jika kita mati, itu adalah lebih bagus. Syurga pastilah untuk para syuhada' yang telus terhadap perjuangan. Tali buhul yang mengikat leher kita terlalu lusuh dan liat. Sementara kita selalu mengelat, berharap kita ini muda dan akan hidup selama-lamanya.

Belajar apa sahaja itu lebih baik. Kadang-kadang menyalak apabila perlu. Apabila kita disakiti, kita menjeritlah. Apabila kawan-kawan kita dikejari, kita melawanlah. Ini sifat aksi-reaksi. Pada setiap aksi, akan mengundang reaksi. Itu standard. Itu normal. Tetapi sedarlah. Kita ini lemah. Terlalu lembut dan mudah pecah. Kita tak sekuat mana pun. Kena hujan sikit dah demam.

Tiada ulasan:

aktif

Pak Zin masa jumpa baru ni, kata gw aktif betul. Ya, itu memanglah menjadi tujuan gw bila gw buka kedai Toko Buku Rakyat ini. Supaya gw ada ...